KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd, Public Mutual Bhd mengisytiharkan pengagihan berjumlah lebih daripada RM147 juta bagi 10 dana, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2023.

Syarikat itu dalam satu kenyataan semalam mengumumkan pengagihan kasar bagi Public Aggressive Growth Fund (2.00 sen seunit), Public Regular Savings Fund (1.20 sen seunit), Public Institutional Bond Fund (0.88 sen seunit), Public e-Asia Pacific REITs Flexi Fund (0.20 sen seunit) dan PB Islamic SmallCap Fund (1.00 sen seunit).

Dana lain ialah Public Mutual PRS Equity Fund (1.30 sen seunit), Public Mutual PRS Conservative Fund (0.75 sen seunit), Public Mutual PRS Islamic Growth Fund (1.00 sen seunit), Public Mutual PRS Islamic Moderate Fund (0.50 sen seunit) dan Public Mutual PRS Islamic Conservative Fund (0.50 sen seunit).

Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta terbesar Malaysia dengan lebih 170 dana di bawah pengurusannya. Ia juga adalah penyedia skim persaraan swasta (PRS) yang diluluskan, menguruskan sembilan dana PRS.

Baru-baru ini, syarikat itu muncul sebagai pemenang terbesar pada anugerah Refinitiv Lipper Fund Awards 2023, merangkul 19 anugerah dana individu.

-- BERNAMA